CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, May 6, 2008

Kisah Duyung

Novel remaja pertama saya yang bertajuk Kisah Duyung ini akan diterbitkan oleh PTS One Sdn Bhd tidak berapa lama lagi.Di sini dipaparkan bab 1 novel Kisah Duyung ini.Novel yang berkonsepkan misteri / thriller mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan..alhamdulilah....


Sudah hampir tiga kali Sekolah Kebangsaan Taman Klebang menangguhkan perkhemahan Persatuan Pengakap sekolah berkenaan yang dijadualkan minggu hadapan.Pihak sekolah masih belum mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri untuk meneruskan perkhemahan yang diadakan bertujuan untuk menguji ahli-ahli pengakap berkenaan cara kehidupan di dalam hutan.

“Batal lagi?”tanya Danial kepada Aiman.Aiman yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kelasnya hanya mengangguk memberikan jawapan kepada pertanyaan Danial itu.

“Aku sudah tidak sabar untuk pergi berkhemah.Asyik tangguh saja..”rungut Danial lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu dengan Aiman yang mula kelihatan murung.

Sebagai ketua pengakap di sekolahnya,Aiman bertanggungjawab untuk menguruskan perkhemahan ini.Dia yang menyediakan kertas kerja serta menguruskan para peserta yang berminat untuk mengikuti perkhemahan yang dirancang berbulan lamanya ini.Mungkin kerana itulah timbul sedikit kekecewaan dalam diri Aiman apabila tempat ketiga yang dirancangnya iaitu di Pulau Desana masih belum diberikan kata putus oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Setelah cadangan untuk mengadakan perkhemahan di Pulau Jerejak dan juga Taman Negara,Pahang ditolak oleh Jabatan Pendidikan Negeri,Pulau Desana adalah destinasi terakhir yang menjadi pilihan pihak sekolah Aiman bagi mengadakan aktiviti perkhemahan berkenaan.Aiman amat berharap agar permintaan mereka kali ini akan dipersetujui oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri.

Kesuntukan masa serta persediaan pihak sekolah yang terlalu singkat menyebabkan Pulau Desana terpaksa menjadi pilihan.Keluasan serta ketebalan hutan di pulau berkenaan juga boleh dikategorikan berbahaya di samping jaraknya yang agak jauh dari daratan.Sekiranya diluluskan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri,pihak sekolah terpaksa menghadkan pula jumlah peserta bagi menjamin keselamatan.

Ketika waktu rehat,Aiman dan Danial bergegas ke bilik guru untuk bertemu dengan Cikgu Roslan,guru penasihat Persatuan pengakap di sekolahnya.

“Assalamualaikum..cikgu”Aiman dan Danial memberi salam serentak ketika melihat Cikgu Roslan sedang berehat membaca akhbar di ruang tamu bilik guru berkenaan.

“Waalaikumsalam..Aiman ..Danial.Saya baru saja bercadang hendak jumpa kamu berdua lepas waktu sekolah ini.Masuklah..”ujar Cikgu Roslan sambil mempersilakan Aiman dan Danial duduk di sebelahnya.

“Cikgu..macam mana dengan aktiviti perkhemahan kita.Masih boleh diteruskan atau pun tidak?’tanya Aiman tanpa berselindung lagi.Dadanya masih lagi berdebar menantikan jawapan daripada Cikgu Roslan.Kesemua ahli pengakap yang mendaftar untuk mengikuti aktiviti perkhemahan itu benar-benar berharap agar impian mereka merasai nikmat perkhemahan tercapai.

Cikgu Roslan tersenyum.Aiman dan Danial yang melihat reaksi Cikgu Roslan itu terus diserang dengan seribu pertanyaan.Cikgu Roslan masih lagi terdiam.Dia menarik keluar sehelai kertas dari dalam fail yang berada di hadapannya.Cikgu Roslan terus sahaja menghulurkan kertas berkenaan kepada Aiman.Aiman pantas menyambutnya lalu segera membaca paparan yang terkandung di dalam surat berkenaan.

“Alhamdulilah..”ujar Aiman dan Danial.Surat rasmi dari Jabatan Pendidikan Negeri berkenaan telah mengesahkan bahawa pemohonan rasmi mereka untuk mengadakan perkhemahan di Pulau Desana itu telah mendapat kelulusan.Aiman dan Danial tersenyum kepuasan.

“Kita terpaksa kurangkan rombongan peserta untuk mengikuti perkhemahan ini.Kemungkinan peserta yang baru mendaftar dalam persatuan pengakap kita tidak akan dibawa bersama..”tambah Cikgu Roslan lagi.”Nanti saya akan maklumkan pada mereka dalam pertemuan esok..”

“Kalau macam tu saya dengan Danial akan maklumkan pada semua ahli persatuan pengakap kita tentang hal ini.Saya pasti yang mereka semua akn gembira..”ujar Aiman sambil tersenyum kepuasan.

“Kita tidak boleh terlalu gembira sangat kerana Pulau Desana ini memang tebal hutannya.Saya akan dapatkan bantuan Cikgu Hamzah untuk turut sama dalam aktiviti perkhemahan ini.Dapat juga dia bantu saya menjaga kamu semua semasa dalam hutan itu nanti..”

“Insyallah cikgu.Saya yakin yang ahli persatuan pengakap sekolah kita akan menjaga diri masing-masing.Lagi pun mereka semua kena ingat bukan senang kita semua hendak dapatkan kebenaran untuk meneruskan aktiviti perkhemahan ini..”celah Danial pula.

Cikgu Roslan tersenyum.Dia juga turut bangga dengan semangat jitu anak buahnya itu untuk meneruskan aktiviti perkhemahan berkenaan meskipun tergendala sebanyak dua kali.

“Nanti jangan lupa bawa lampu suluh.Kau kan takut gekap..”usik Aiman kepada Danial ketika mereka berdua dalam perjalanan balik semula ke bilik darjah.

Danial mencebik.”Kau jangan riak sangat.Silap-silap kau pun takut.Bukan kau tak tau yang hutan di Pulau Desana itu tebal”balas Danial.”Agak-agak kau dekat Pulau itu ada binatang buasa tak?”tanya Danial.

“Mana ada.Kalau ada mestilah pihak Jabatan Pendidikan Negeri tidak benarkan kita ke sana..”balas Aiman.”Kenapa kau takut?”tanya Aiman lagi.

“Bukan takut..cuma…”

“Dah la.Kalau kau takut tak payah pergi.Duduk rumah.Peluang ini datang sekali saja tau..”

“Aku tetap akan pergi la..!”

Aiman tersenyum.


0 comments: